Perarakan Keranda 152 Ke-2 pada 7 Mac 2009 Keranda_152

Perarakan "Keranda 152" yang Ke-2 dipimpin oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) & Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) ke Istana Negara pada 7 Mac 2009 sebagai tanda terkuburnya Bahasa Kebangsaan ekoran dari pelbagai dasar kerajaan yang "menghina" Bahasa Kebangsaan termasuk PPSMI

Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dikatakan merancang mengadakan bantahan terhadap Dasar Pembelajaran & Pengajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara lembut. Namun, tindakan kurang agresif ini akhirnya menyebabkan muncul satu gerakan baru - Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang dipimpin oleh Allahyarham Dato' Dr Hassan Ahmad dan SN Dato' A Samad Said. GMP telah dilancarkan pada 31 Januari 2009 di Kompleks Membeli Belah Sogo, Kuala Lumpur dan berkembang sehingga mendapat sokongan ratusan gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Kemuncak bantahan besar-besaran terhadap dasar PPSMI adalah pada 7 Mac 2009 apabila puluhan ribu rakyat telah berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum derita lara pelajar yang mengikuti PPSMI sejak 2003 - 2009. Ini merupakan jalan terakhir yang terpaksa dilakukan setelah Kementerian Pelajaran Malaysia masih mahu meneruskan dasar-dasar mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Bulan Mac dipilih kerana Perhimpunan Agung UMNO 2009 akan diadakan pada bulan Mac. Himpunan Anti ISA juga dirancang pada bulan itu oleh Gerakan Mansuhkan ISA, DAP, PAS, PKR dan NGO lain.[2] Rentetan daripada perarakan tersebut, nama-nama tokoh besar telah disiarkan di media arus perdana oleh polis kerana dikatakan cuba mencetuskan huru-hara. Antara nama yang disiarkan ialah Allahyarham Dato' Dr Hassan Ahmad, SN Dato' A Samad Said, Hasni Abas (DBP), Prof Shahrir Md Zain, Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz (Presiden PKPIM), Ainon Muhamad, Prof Emeritus Abdullah Hassan, Suhaizan Kayat dan Dinsman. Akhirnya kerajaan melalui Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI pada 8 Julai 2009.